Quantcast
Channel: Selangorkini
Viewing all 9988 articles
Browse latest View live

48 sekolah daerah Petaling Utama ikuti Program Intervensi

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Sebanyak 48 sekolah daerah Petaling Utama, menyertai Majlis Pelancaran Program Intervensi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang dianjurkan Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis).

Program itu turut mendapat kerjasama bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama.

Program Intervensi itu diadakan secara berperingkat bermula dengan 23 sekolah rendah membabitkan calon UPSR seramai 2,500 pelajar yang sudah dimulakan sesinya pada 30 Jun lalu dan akan berakhir 21 Julai ini.

Pengasas MyPerintis, Dato’ Lawrence Low berkata, program intervensi yang berjalan selama satu jam itu bertujuan meningkatkan tahap motivasi pelajar.

“Idea keseronokan dalam proses pembelajaran jarang sekali terlintas dalam fikiran pelajar dan ada segelintir yang sukar untuk memahaminya.

“Oleh itu Youth Influencer kami, Karmen Lee akan memperkenalkan persepsi baharu untuk pelajar bahawa pembelajaran merupakan proses menarik dan menyeronokkan,” katanya dalam kenyataan.

Lawrence berkata, selain memberikan pelajar motivasi dalam Program Intervensi, ia juga memfokuskan penerapan nilai murni yang penting seperti kejujuran, bekerja keras dan berdisiplin seperti sudah diterapkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga selaku penaung MyPerintis.

“Menerusi Program Intervensi, pelajar dapat mengatasi tekanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengubah persepsi terhadap peperiksaan dan pada masa sama masih menikmati proses pembelajaran dengan seronok.

“Selain itu, ia bertujuan membantu pelajar memberi gambaran mengenai kehidupan dalam persediaan untuk memulakan pendidikan mereka di sekolah menengah dan peringkat universiti,” katanya.

Justeru, katanya, program itu selaras dengan inisiatif yang dinyatakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mahukan proses pembelajaran menyeronokkan sekali gus membawa sistem pendidikan ke era baharu.

“Keseronokan memberi impak positif terhadap tahap motivasi dan sekiranya pengalaman itu menyeronokkan, pelajar akan mempunyai sikap ingin tahu serta terus bersemangat untuk menjalani pelajaran mereka,” katanya.

=EZY=


Pastikan haiwan kesayangan membiak secara terkawal – Veterinar

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JUL: Jangan biarkan haiwan kesayangan anda membiak secara tidak terkawal, itu pesanan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil.

Katanya, disebabkan tiada kawalan, ramai pemilik kucing yang bertindak membuang haiwan berkenaan sehingga menjadi haiwan terbiar.

“Masyarakat perlu menolak budaya ‘haiwan itu tiada hak’ dan ‘haiwan itu adalah gangguan’, jika dilihat punca haiwan menjadi gangguan adalah berbalik kepada sikap manusia juga.

“Disebabkan itu kami daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS) mahu menggalakkan pemilikan bertanggungjawab di kalangan pemilik haiwan kesayangan, maka disebabkan itu, klinik veterinar DVS mempromosi pemandulan kucing jantan,” katanya dalam ucapan ketika Hari Kebajikan Haiwan Negeri Selangor 2018 di Dewan Raja Muda Musa, petang tadi.

Hadir mencemar duli ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan turut berkenan merasmikan acara berkenaan yang dianjurkan julung kalinya oleh DVS di peringkat negeri itu.

Turut hadir isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norhisham Mohammad @ Mohd Isa.

Hassuzana berkata, sebelum ini Hari Kebajikan Haiwan hanya diadakan pada peringkat Persekutuan sahaja.

“Matlamat utama program ini supaya masyarakat bersikap lebih prihatin dan sayang kepada haiwan sekeliling tidak kira ia dipelihara ataupun tidak bertuan.

“Melalui program ini juga, DVS mempromosikan langkah menyelamatkan haiwan terbiar dengan mewujudkan gerai ‘Kucing Angkat’,” katanya.

 

Sony EMCS mahu kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Selangor

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd mahu menjalinkan hubungan lebih erat dengan Kerajaan Selangor.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Sektor Kawalan Operasi Perniagaannya, Takanori Yamamota ketika sesi taklimat bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di ibu pejabatnya bertempat di Bandar Baru Bangi pagi tadi.

Takanori berkata, pihaknya berbangga kerana Kerajaan Selangor bersama Invest Selangor memilih Sony EMCS sebagai lokasi aktiviti berbasikal kali ini.

“Kami mahu hubungan ini lebih erat dan bersedia memberikan kerjasama bersama Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Amirudin,” katanya.

Sementara itu Presiden KL TEC Sony EMCS, Yasushi Tsukada dalam ucapannya memberitahu beliau berbangga apabila Amirudin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar yang baru di Selangor.

Amirudin turut dibawa melawat ke sekitar ibu pejabat Sony EMCS serta menanam pokok sebagai simbolik lawatan.

 

Zalim kepada haiwan boleh didenda hingga RM100,000

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JUL: Anda boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 sekiranya didapati bersalah atas sebab menzalimi haiwan, kata Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil.

Katanya, ia tertakluk atas Akta Kebajikan Haiwan 2015 atau Akta 722, selain itu boleh turut dikenakan denda dari RM200 kepada RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

“Akta yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2017 ini bertujuan memastikan pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan, sekaligus memperluaskan penguatkuasaan terhadap kezaliman haiwan dengan lebih efektif.

“Sebagaimana sedia maklum, isu kebajikan haiwan menjadi semakin kritikal di negara, termasuk Selangor. Namun kita boleh menarik nafas lega kerana walaupun semakin maju, masyarakat semakin mengambil berat isu kebajikan haiwan.

“Banyak kes kezaliman terhadap haiwan mudah menjadi tular di media sosial kerana mereka mengharapkan supaya Kerajaan membuat tindakan segera,” katanya dalam ucapan ketika Hari Kebajikan Haiwan Negeri Selangor 2018 semalam.

Hassuzana berkata, Akta 722 adalah satu manifestasi bahawa Kerajaan tidak lagi menganggap kes kezaliman haiwan sebagai remeh atau kerja tambahan.

Katanya, Kerajaan memperakukan haiwan peliharaan dan ternakan juga mempunyai hak di dunia termasuk bebas daripada rasa lapar dan haus.

“Selain itu hak haiwan ialah bebas dari rasa tidak selesa, bebas untuk mengekspresikan sifat semulajadi, bebas daripada kesakitan dan penyakit, serta bebas daripada rasa takut dan tertekan.

“Marilah kita bersama-sama meningkatkan pengetahuan dan memupuk kasih sayang kepada haiwan seterusnya menjadi masyarakat bertimbang rasa dan penyayang,” katanya.

 

Angin kencang, laut bergelora hingga Jumaat

$
0
0

KUALA LUMPUR 15 JUL: Angin kencang Barat Daya berkelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, Utara Condore, Utara Reef North dan Palawan sehingga Jumaat (20 Julai).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan malam tadi berkata keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Kenyataan itu juga menerangkan bahawa angin kencang sehingga Jumaat itu juga dijangka melanda perairan Selat Melaka Utara, Samui, Selatan Condore, Selatan Reef North, Layang-layang, Labuan dan Sulu dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak dijangka setinggi 3.5 meter.

Keadaan itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah dan kawasan pedalaman, Pantai Barat dan Kudat di Sabah.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

SUMBER: BERNAMA

Sokong cadangan hasil tenaga daripada bahan buangan

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG SEPAT, 15 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik cadangan bagi menghasilkan tenaga menggunakan bahan buangan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT telah melakukan pelbagai kaedah untuk menguruskan bahan buangan agar mendatangkan impak yang paling minimum terhadap alam sekitar.

“Justeru cadangan untuk menghasilkan tenaga dengan bahan buangan ini adalah satu cadangan yang amat baik.

“Dengan perancangan sedia ada, KPKT akan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah dan mengambil inisiatif menggunakan teknologi terbaru seperti menggubah bahan buangan kepada tenaga, teknologi bio mass dan juga teknologi bio ‘digester’,” katanya kepada media.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar berhubung pihaknya bersedia bekerjasama dalam projek pengurusan sisa bagi menghasilkan tenaga di negara ini.

Antara negara yang menggunakan kaedah tenaga daripada sisa termasuk Jepun, Denmark dan Singapura.

=EZY=

Jawatankuasa siasat kematian peserta PD International Triathlon

$
0
0

PORT DICKSON 15 JUL: Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian seorang peserta Port Dickson International Triathlon.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali.

“Jawatankuasa ini akan melihat sekiranya berlaku apa-apa yang bercanggah atau yang tidak dipenuhi dari segi undang-undang dan kami akan maklumkan kepada media,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata siasatan itu juga akan melihat dari segi keselamatan oleh pihak penganjur Port Dickson International Triathlon termasuk kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sebab itu kena tunggu keputusan jawatankuasa sebab kita kena tengok kalau ada apa-apa syarat yang tidak dipenuhi dan kalau tiada akan ada tindakan susulan… tapi perlu adakan dahulu jawatankuasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Thram Wei Wong, 39, yang lemas ketika menyertai acara renang pada kejohanan Port Dickson International Triathlon, pagi ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan meluangkan masa kira-kira 25 minit mendengar taklimat dan menziarah keluarga terdekat Thram di unit forensik Hospital Port Dickson (HPD).

Beliau kemudian turut meninjau lokasi kejadian sambil diiringi Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Piala Dunia 2018: Setiap pelusuk Selangor meriah dengan skrin gergasi

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JUL: Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi akan berlangsungnya perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Kemeriahan acara itu turut dirasakan di negeri ini apabila setiap pelusuk tempat akan memasang skrin gergasi bagi membolehkan peminat bola sepak menonton aksi diantara Perancis menentang Croatia bagi merebut gelaran juara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut tidak ketinggalan menulis di ruangan twitternya dengan mengajak orang ramai menonton perlawanan hebat tersebut.

“Masih mencari lokasi untuk menonton ‘final’ Piala Dunia malam ini? Jom sama-sama kita saksikan Final Piala Dunia 2018 secara live di layar gergasi di Restoran ARR Corner, Kampung Jawa. Semua dijemput hadir!!,” tulisnya di laman berkenaan.

Tidak ketinggalan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham turut mengajak orang ramai ke Restoran Aazhar Maju di Sri Gombak bagi menonton perlawanan bersama lagenda bola sepak negara.

Antaranya termasuk Khalid Ali, Reman Ragunathan dan Rusdi Suparman, acara bermula dari jam 11 malam.

Tambah meriah di Dewan MBSA Paya Jaras pula, penganjur dijangka menghidangkan durian kepada tetamu yang hadir ke situ bermula jam 10 malam ini.

Acara berkenaan dijangka akan turut diserikan dengan kehadiran ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

 


MB galak lebih ramai golongan millennial sertai Persatuan AMG

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 15 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan lebih ramai golongan millennial menyertai Persatuan Anak Muda Gombak (AMG).

AMG merupakan persatuan yang mula ditubuhkan dan dirasmikan pada hari ini, bertujuan melahirkan pemimpin daripada pelbagai bidang sekali gus membantu dalam pembangunan negara.

Amirudin berkata, beliau berharap dengan tertubuhnya Persatuan AMG, golongan millennial tidak hanya menunggu sebaliknya merancang dan menyediakan inisiatif untuk bersama-sama menbangunkan Selangor.

“Mesej penting yang ingin saya sampaikan supaya kita dapat maju bersama-sama untuk membangunkan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ia kerana golongan millennial, mereka ada pandangan yang baharu, kaedah baharu atau mungkin fikiran mereka di luar pemikiran masyarakat, jadi saya akan ambil seluruh pandangan itu sebagai pelan perancangan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran AMG dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Taman Tasik Seri Gombak, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Mengulas mengenai AMG akan dibawa ke daerah lain, Amirudin berkata, setiap daerah mempunyai kaedah masing-masing ia bergantung kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor.

“Saya tidak mahu tetapkan satu standard tetapi di daerah lain mungkin PeBT boleh meggerakkan mereka dan mencari lagi kelompok seperti ini.

“Yang penting, kita mahu lebih banyak suara dan pandangan golongan millennial yang boleh membantu Kerajaan Negeri dalam membangunkan Selangor,” katanya.

Terdahulu, Persatuan AMG ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan mempunyai 50 ahli sahaja berdaftar setakat ini.

Kepada mereka yang berminat untuk sertai boleh melayari Facebook Anak Muda Gombak.

Taman Tasik Seri Gombak dinaik taraf berwajah baru

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 15 JUL: Taman Tasik Seri Gombak bakal berwajah baru selepas kerja naik taraf mula dijalankan tidak lama sahaja lagi.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Rumah Terbuka dan Pelancaran Anak Muda Gombak (AMG) yang diadakan di Taman Tasik Seri Gombak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kerja naik taraf masih dalam perbincangan Kerajaan Negeri bersama pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Namun, MPS sudah membuat satu fasa untuk tasik ini dijadikan sebagai kawasan riadah dan mengikut perancangan akan diadakan kawasan joging yang tidak terlalu besar juga tidak terlalu kecil.

“Hasil perbincangan ia dijangka siap dan sudah boleh digunakan dengan sempurna mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran AMG dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan, Amirudin berkata, ia masih dalam sesi perbincangan.

“Bagaimanapun, kita akan berusaha menaik taraf tasik ini dengan pelbagai prasarana dan kemudahan riadah serta kehijauan flora fauna supaya dapat membina sebuah masyarakat yang sihat juga produktif,” katanya.

 

KPKT kaji permohonan pembelian rumah bumiputera ditolak bank

$
0
0

NASIONAL 15 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti semula permohonan pembeli rumah mampu milik golongan bumiputera yang ditolak oleh institusi kewangan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan dapat memiliki rumah selain mengatasi lambakan rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual.

“KPKT juga akan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan institusi kewangan yang lain untuk mencari penyelesaian masalah ini.

“KPKT komited bagi membantu golongan bumiputera memiliki rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Umum Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak di Tanjung Sepat, Sepang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mencadangkan agar rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka.

Penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa kuota bumiputera yang tidak terjual dan tidak dilepaskan ke pasaran terbuka hanya mengakibatkan peningkatan kos pegangan dan keseluruhan kos pembangunan.

Menurut Rehda ini akan meningkatkan harga lot bukan bumiputera berikutan kos bagi seunit rumah telah dilepaskan kepada pembeli.

Mengulas dua lagi cadangan oleh kajian berkenaan, Zuraida berkata cadangan berkenaan akan dipertimbangkan oleh pihaknya yang kini sedang merangka Dasar Perumahan Negara 2.0 yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Dua cadangan berkenaan ialah menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan Lembah Klang pada harga RM500,000, dan pembinaan rumah mampu milik diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan manakala pemaju swasta hanya membina rumah yang didorong pasaran tanpa kawalan harga dan kuota.

SUMBER: BERNAMA

MB mahu ADN turun padang dengar syor rakyat rangka Belanjawan 2019

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Menjelang pembentangan Belanjawan 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu semua Ahli Dewan Negeri (ADN) turun padang bagi mendengar syor atau teguran daripada rakyat.

Katanya, hal itu bagi membolehkan Kerajaan Negeri merangka belanjawan yang komprehensif tanpa menyisihkan mana-mana golongan.

“Pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu, kita memenangi undi yang besar. Saya mahu ingatkan kepada ADUN, selepas ini menjadi tanggungjawab kita untuk membawa Selangor jauh lebih maju dan lebih banyak nikmat dikongsi.

“Oleh itu, mulai Ogos ini, saya mahu semua turun ke bawah dan pelusuk kawasan masing-masing bagi mendengar pandangan rakyat, apakah cadangan atau syor untuk kita rangka dalam belanjawan.

“Ini kerana cadangan atau teguran ini dapat membina kerajaan yang lebih baik dalam memenuhi kehendak setiap lapisan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang, di Taman Pendamaran Permai, disini.

Amirudin berkata semua ADN perlu mendengar permasalahan rakyat demi memajukan negeri.

“Ini yang kita sebut maju bersama rakyat. Rakyat bersama kerajaan dan pemimpin tidak lupa akan rakyatnya. Saya mahu memastikan tiada sesiapa yang tertinggal atau tersisih dari kemajuan.

“Saya tidak rasa gembira Kalau kita mahu membangun tetapi rakyat tersisih. Saya bersyukur jika kemajuan dan kekayaan dikongsi kerana kekayaan ini bukan milik pemimpin tetapi rakyat.

“Menuju 2019, kemajuan dan kekayaan Selangor adalah milik bersama. Susah senang kita perlu bersama dalam negeri kita,” katanya.

 

MB alukan Kerajaan Persekutuan laksanakan IPR

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berbangga program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menjadi model dan contoh untuk dilaksanakan di negeri lain.

Malah, beliau turut mengalukan Kerajaan Persekutuan hadir ke pentadbiran Kerajaan Negeri sekiranya mahu merangka program itu dan diselaraskan ke semua negeri.

“Selangor sebagai model dan menjadi negeri contoh pengendali program IPR.

“Kita menyediakan lebih 40 program IPR. Baru-baru ini Kerajaan Johor datang bertemu dengan pegawai kita belajar bagaimana kita laksanakan program air percuma, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat.

“Kerajaan Persekutuan juga boleh datang ke Selangor jika mahu program seperti ini dilaksanakan di semua negeri untuk dinikmati rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang, di Taman Pendamaran Permai, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pelaksanaan program IPR dilihat cemerlang sehingga berjaya menepis tohmahan sesetengah pihak.

“Kalau dulu mereka kata program ini populis, kurang berdaya saing dan bersikap sementara. Tetapi kini dalam manifesto Barisan Nasional mereka juga meniru program ini.

“Ini membuktikan Selangor sebagai model kerajaan kita di Putrajaya,” katanya.

=EZY=

 

Azmizam teruja, lebih 5,000 hadir rumah terbuka DUN Pelabuhan Klang

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri nyata teruja melihat lebih 5,000 rakyat kawasan berkenaan ‘menyerbu’ Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Taman Pendamaran Permai, di sini.

Katanya, beliau terkejut dengan sambutan diberikan sehinggakan makanan yang disediakan kepada hanya 5,000 tidak mencukupi.

“Saya terkejut, sehinggakan terpaksa menambah makanan lain. Bagaimanapun, saya berterima kasih dan menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan pengundi saya.

“Rumah terbuka ini saya sediakan khas sebagai tanda terima kasih kerana mengundi saya pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam turut menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka itu sebagai satu kenangan manis kerana ia pertama kali diadakan selepas kawasan kubu kuat Umno itu dimiliki Pakatan Harapan.

“Istimewanya kali ini saya sebagai ADUN dan saya berharap untuk terus diberi kekuatan untuk memikul amanah yang berat ini.

“Sudah tentu rakyat mahukan penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan oleh saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Hadir memeriahkan Rumah Terbuka itu ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim serta ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pelbagai juadah disediakan antaranya, kambing bakar, sate, nasi impit, pelbagai juadah mee goreng dan ayam golek.

Turut disediakan roti canai Gana simpang Empat Teluk Gong yang popular di kalangan masyarakat kawasan berkenaan.

Difahamkan juadah terbabit disediakan oleh usahawan tempatan kawasan Pelabuhan Klang.

=EZY=

Parlimen Malaysia akan terus diperkasa

$
0
0

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff akan melihat beberapa perkara penting yang boleh diperbaiki bagi memantapkan lagi institusi Parlimen Malaysia.

Katanya, pelbagai perkara boleh dilakukan untuk melaksanakan reformasi Parlimen seperti disuarakan ahli Dewan Rakyat sebelum ini.

“Beri saya masa, ini hari pertama. Saya perlu lihat apa perubahan yang sudah dibuat setakat ini sebelum kita tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh soal larangan petugas media membuat liputan di Lobi Parlimen, beliau akan cuba berbincang dengan menteri bertanggungjawab sebelum membuat keputusan.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat kenyataan lanjut memandangkan ini adalah hari pertama beliau menduduki jawatan itu.

 


SUHAKAM siasat dakwaan murid dicabul guru

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menyiasat segera dakwaan murid darjah empat dicabul guru di sebuah sekolah, di Ampang.

Pesuruhjayanya, Datuk Lok Yim Pheng berkata, hal itu kerana pihaknya memandang serius isu pencabulan kanak-kanak, terutama di sekolah.

Katanya, pihak sekolah juga sepatutnya menyelesaikan masalah berkenaan dengan profesional.

“SUHAKAM akan buat siasatan segera memandangkan kanak-kanak ini perlu ke sekolah untuk belajar.

“Ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya ketika pertemuan bersama ibu dan bapa mangsa, di Pejabat SUHAKAM, di Menara TH Perdana, pagi tadi.

Pada pertemuan sama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) turut menyerahkan memorandum kes berkenaan kepada Yim Pheng mewakili SUHAKAM.

Projek Koordinator SUARAM, Mohamad Alshatri Abdullah berkata, isu terbabit dibawa kepada pihak mereka setelah ibu bapa mangsa gagal mendapat kerjasama sekolah.

Katanya, pelajar berusia 10 tahun itu mengalami ketakutan sehingga tidak dapat meneruskan persekolahannya dan sedang dalam urusan pertukaran ke sekolah lain.

“Kami mengharapkan kes ini dipandang serius dan diambil tindakan serta-merta bagi membolehkan pelajar terbabit menyambung pelajaran tanpa gangguan serta kerisauan.

“SUARAM juga mahu tindakan lebih pantas diambil pihak sekolah dan sepatutnya memberikan cuti serta-merta kepada guru yang dilaporkan melakukan gangguan seksual terhadap murid,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memaklumkan akan memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kes pencabulan guru terhadap murid sekolah yang didedahkan aktivis sosial.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, KPM komited memastikan hak kanak-kanak sentiasa dipatuhi dan keselamatan mereka, terutama semasa berada di sekolah diutamakan semua pihak.

Naik taraf Lebuhraya Pulau Indah-Pelabuhan Klang

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 16 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu menimbangkan cadangan untuk melebarkan lorong di Lebuhraya Pulau Indah bagi mengatasi kesesakan sepanjang jaringan itu.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, hal itu kerana lebuh raya terbabit tidak dapat menampung kenderaan yang banyak khususnya kenderaan berat.

Katanya, statistik daripada Westport mendapati kira-kira 2,500 kenderaan berat menggunakan lebuh raya itu, pada Isnin hingga Rabu dan meningkat kepada 3,500, pada Khamis hingga Sabtu.

“Pelabuhan ini menyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi menghadapi masalah insfrastruktur.

“Jalan ini tidak sepatutnya dalam keadaan begini. Ia perlu ditambah baik bagi memenuhi kepesatan pembangunan industri,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam berkata, kadar itu semakin meningkat apabila dicampur dengan kenderaan awam dan persendirian yang lain.

Sehubungan itu, beliau mahu lebuh raya terbabit dinaik taraf kepada enam lorong dan mempunyai lorong khas bagi penunggang motorsikal.

“Dengan pelebaran jalan ini, kita dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat.

“Dalam tiga tahun ini, jumlah kemalangan dicatatkan melebihi 1,000 setahun, justeru kita mahu sifarkannya.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini,” katanya.

Kerap diintip polis, Pengerusi MyWatch minta bantuan SUHAKAM

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Dato’ Sri Sanjeevan bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) setelah mendakwa dirinya diintip secara rahsia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, terbaru beliau diintip dua lelaki tidak dikenali ketika berada di rumahnya, pada 9 Julai lalu.

“Saya mendekati lelaki berkenaan dan pada awalnya kedua mereka tidak mahu memberikan kerjasama memperkenalkan diri, namun setelah disoal siasat pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahan, barulah mereka mengaku sebagai anggota polis dari Bahagian Narkotik.

“Sebelum ini saya pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), namun penahanan itu ditolak oleh majistret kerana tidak mematuhi syarat.

“Disebabkan itu, saya menggesa PDRM henti membuat intipan terhadap saya supaya keluarga saya bebas dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum berkenaan kes terbabit daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kepada SUHAKAM di pejabatnya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan menganggap hak kebebasan individu tidak boleh dicabuli, terutama pihak keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Katanya, Sanjeevan adalah pejuang hak asasi manusia yang sepatutnya dilindungi di bawah peruntukan undang-undang.

“Kami menganggap intimidasi dan gangguan itu mengancam keselamatan diri dan keluarganya, dengan ini kami meminta SUHAKAM untuk segera campur tangan dan menghentikan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku terhadap Sanjeevan,” katanya.

Article 7

$
0
0

“Street Parade Asia Junior Marching Band Championship” (AJMBC) 2018, Petaling Jaya. 13 JULAI 2018 | FIKRI YUSOF

Article 6

$
0
0

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyempurnakan Penyampaian Insentif Haji Muasasah Selangor Darul Ehsan 1439H / 2018, Batu Caves. 13 JULAI 2018 | FIKRI YUSOF

Viewing all 9988 articles
Browse latest View live