Quantcast
Channel: Selangorkini
Viewing all 9988 articles
Browse latest View live

KJ resah Umno hilang arah

$
0
0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 JULAI: Semakin hilang arah, begitulah senario baru digambarkan Khairy Jamaluddin kepada Umno susulan kekalahan teruk dalam sejarah, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi Twitter, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Umno kini berada di persimpangan jalan untuk memilih sama ada mengambil haluan kanan atau tengah.

“Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi.

“Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk ‘survive’,” tulisnya.

Khairy yang gagal merebut jawatan presiden parti pada Pemilihan Umno lalu menyuarakan parti itu gagal mendengar suara rakyat.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ‘repeat’ (ulang) semula.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datun Seri Najib Razak) tetapi tak kan itu sahaja Umno “baharu”.

“Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” tulisnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu merujuk kepada kempen derma tabung yang dilancarkan kumpulan “Solidariti Bersama Datuk Najib”, pada 5 Julai lalu.

Khairy kemudian menyelar tindakan pemimpin Umno dan mendakwa rakannya dalam parti itu sengaja memainkan isu perkauman susulan pelantikan beberapa jawatan tertinggi, di negara ini daripada bukan Islam.

“Jika modal untuk PRU15 hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Ketua Hakim, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

“Keresahan Melayu memang ada tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi dan sosial,” tulisnya.


Article 8

$
0
0

Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Majlis Agama ISlam Selangor (MAIS), Sabak Bernam. 12 JULAI 2018 | ASRI SAPFIE

Ibadah haji latihan dan peluang rai perbezaan

$
0
0

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Seramai 1,000 bakal haji muassasah menerima insentif RM500 setiap seorang yang disumbangkan Kerajaan Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Berlangsung di Masjid Al Amaniah, Solat Jumaat dan Majlis Perdana Penyampaian Insentif Muassasah Selangor Darul Ehsan 1439H/2018 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali; ahli parlimen serta ahli dewan negeri.

Semua penerima terdiri daripada jemaah dari Parlimen Ampang, Gombak dan Selayang.

Bagi musim haji 1439H/2018, seramai 6,500 bakal haji dari Selangor dengan 7,500 bakal haji muassasah.

Amirudin dalam ucapannya berkata, jemaah haji perlu menerapkan sikap sabar, saling membantu dan bertanggungjawab bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Katanya, ibadah haji adalah peluang latihan untuk saling menghormati dan menghargai perbezaan yang ada sebagai sebahagian daripada kebesaran Allah menciptakan makhlukNya di dunia ini.

“Sudah tentu setiap daripada kita mengimpikan ibadah haji yang mabrur daripada Allah SWT, justeru saya berpesan kepada semua untuk menyempurnakan ibadah haji ini sebaik mungkin dengan memelihara setiap rukun serta syarat.

“Saya juga berharap jemaah menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing supaya dapat kembali ke tanah air dengan sihat,” katanya.

Beliau turut meminta jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri supaya perpaduan kekal utuh, selain kepimpinan sedia ada diberi kekuatan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Article 6

$
0
0

Rumah Terbuka Aidilfitri Tourism Selangor, Hotel Concorde Shah Alam. 12 JULAI 2018 | HAFIZ OTHMAN

Faktor miskin bukan alasan kahwin awal

$
0
0

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JULAI: Faktor kemiskinan bukan alasan untuk membenarkan remaja perempuan bawah umur dikahwinkan, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebaliknya, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata, penyelesaian kaunseling dan pemulihan boleh dilaksanakan secara menyeluruh.

“(Kahwin awal) bukan penyelesaian terbaik kerana terdapat banyak lagi cara pemulihan boleh dilaksanakan bermula dari sekolah hingga peringkat tertinggi.

“Bagaimanapun, ia bukan bersandarkan faktor kaunseling sahaja. Di peringkat Kerajaan Selangor, kita giat mengkaji penyelesaian terbaik supaya isu ini dapat diatasi secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular laporan media yang mendedahkan perkahwinan bawah umur membabitkan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkahwinan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang.

Katanya, perkahwinan itu tidak mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua.

Untuk tempoh kini, paras minima perkahwinan ditetapkan, pada umur 16 tahun.

Bagaimanapun, Kerajaan sebelum ini turut bercadang menaikkan paras umur berkenaan kepada 18 tahun.

Kebakaran hutan paya gambut Selangor berkurangan

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 13 JUL: Kejadian kebakaran hutan paya gambut semakin berkurangan sejak 2018, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Dato’ Dr Puat Dahalan.

Katanya, sehingga kini kes kebakaran di hutan berkenaan dilihat sebagai kes terpencil berikutan jumlahnya turun ke paras minima.

“Sejak tiga tahun lalu, kebakaran hutan paya gambut berlaku seluas kira-kira 200 hektar setahun, namun tahun lalu ia turun mendadak dan hanya berlaku seluas 100 hektar.

“Lebih membanggakan apabila pada tahun ini tiada lagi laporan kebakaran hutan paya gambut dilaporkan berlaku, ini adalah satu kejayaan bagi Selangor hasil kerjasama semua pihak yang membolehkan penurunan kes kebakaran,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pusat Kelestarian Gambut Global Enviroment Centre (GEC) – Komuniti dan Majlis Jamuan Aidilfitri GEC di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah GEC, Faizal Parish dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor serta penduduk setempat.

Sementara itu Faizal berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai berjaga-jaga berikutan negara memasuki musim kemarau tidak lama lagi.

Katanya, keadaan itu akan berlanjutan selama dua bulan sebelum berlaku musim tengkujuh pada penghujung tahun.

“Bagi petani atau peladang di kawasan tanah gambut, berhati-hati sekiranya membuat kerja pembersihan hutan, sebaiknya jangan lakukan pembakaran secara terbuka kerana ia menyumbang kejadian lebih buruk.

“Kami turut berharap supaya agensi berkaitan membuat pemantauan dengan lebih kerap sepanjang musim panas tidak lama lagi,” katanya.

 

Syed Saddiq ke Indonesia, pantau keselamatan skuad B-19

$
0
0

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JULAI: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal terbang ke Indonesia, malam ini bagi memastikan kawalan keselamatan terjamin buat skuad bawah 19 tahun negara (B-19).

Ia susulan insiden serangan penyokong Indonesia terhadap skuad negara selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018, di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam mandapat perhatian.

Dalam saingan itu, skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1, sekali gus mengundang rasa tidak puas hati penyokong Indonesia.

Bagaimanapun, pihak tuan rumah Indonesia berjanji memperketatkan kawalan keselamatan ke atas anak buah Bojan Hodak yang dijadual turun beraksi di final menentang Myanmar esok.

“Pihak mereka berjanji perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan Sabtu ini.

“Saya akan ke Indonesia malam ni dan akan pastikan sebaik mungkin perkara ini tidak akan berulang, khususnya bagi Sukan Asia nanti,” tulis Syed Saddiq di laman twitternya.

Dalam video yang dirakam sendiri Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.

Pada masa sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Match Commissioner dan pengadil sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung insiden itu.

“Susulan insiden itu, saya menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Joko Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan hari ini dan ketika di hotel penginapan,” katanya dalam kenyataan.

Guna logo Umno, BN berdepan krisis formula

$
0
0

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Hasrat Umno yang mahu menggunakan logo parti itu pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berhadapan krisis dan semakin tidak relevan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menggunakan satu logo sebelum ini membuktikan kaedah mereka lebih relevan dan diterima pengundi.

“Bagi saya, ini membuktikan formula gabungan BN tidak begitu relevan. Justeru, kaedah digunakan PAKATAN lebih diterima dan kental menempuh dugaan serta cabaran.

“Kita berdepan beberapa pilihan raya sebagai pembangkang dan akhirnya kita mencadangkan beberapa kaedah sebelum ini dengan menggunakan logo masing-masing.

“PAKATAN juga berdepan pelbagai cabaran di saat BN memerintah ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Solat Jumaat dan Majlis Perdana Penyampaian Insentif Muassasah Selangor Darul Ehsan 1439H/2018, di Masjid Al Amaniah, hari ini.

Amirudin berkata, bagi menghadapi PRK DUN Sungai Kandis, Majlis Presiden PAKATAN sebelum ini sudah memilih KEADILAN untuk bertanding, memandangkan ia kerusi tradisi mereka serta menggunakan logo parti.

Katanya, PAKATAN juga sudah memenangi kerusi berkenaan selama tiga penggal dan pastinya logo KEADILAN sinonim dalam kalangan pengundi.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai ini bagi PRK DUN N.49 Sungai Kandis.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.


Ajaran Ahmadiyah: MB akan dapatkan penjelasan JAIS

$
0
0

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memihak kepada jemaah Ahmadiyah sebelum tindakan lanjut diambil selepas ini.

Katanya, tindakan perlu mengambil kira keharmonian semua pihak khususnya membabitkan ajaran yang pernah difatwakan menyimpang daripada ajaran Islam sebelum ini.

“Saya harus dapatkan maklum balas daripada JAIS, sudah pasti mereka akan mencari jalan supaya menjaga keharmonian dan memelihara kesucian Islam, termasuk menangani ajaran yang sudah difatwakan menyimpang daripada ajaran sebenar termasuk Ahmadiyah,” katanya.

Sebelum ini, 39 jemaah Ahmadiyah memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung serbuan JAIS, pada 11 April 2014 terhadap sebuah unit rumah kedai di Taman Perindustrian Dolomite, Batu Caves ketika sedang melakukan solat Jumaat.

Hakim Vazeer Alam Mydin membuat keputusan menyebelahi mereka, pada 6 Julai lalu dalam kes yang difailkan terhadap JAIS.

Tiada kes kahwin bawah umur di Selangor

$
0
0

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JULAI: Tiada kes perkahwinan bawah umur dilaporkan berlaku di negeri ini, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, pemantauan menyeluruh giat dilaksanakan sebagai jaminan kes seumpama itu tidak berlaku di negeri berkenaan.

“Tidak pernah timbul isu seperti ini di Selangor dan tiada kes perkahwinan bawah umur dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas penularan kes kahwin bawah umur membabitkan kanak-kanak 11 tahun dan lelaki, 41 tahun yang berlaku di sebuah negeri di pantai timur, baru-baru ini.

Dalam kes berkenaan, perkahwinan itu didakwa didaftarkan di Thailand, bagaimanapun Putrajaya sebelum ini menegaskan ia tidak sah.

Mengulas lanjut kata Dr Mariah, Kerajaan Selangor mempertimbang untuk melanjutkan paras umum perkahwinan muda, pada umur 18 tahun.

Kenyataan itu senada dengan pertimbangan dasar baru di peringkat Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Ia perlu diselarikan di semua peringkat membabitkan lapisan agama dan bangsa dengan menetapkan 18 tahun adalah paras umur minimum perkahwinan,” katanya.

 

Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan

$
0
0

KUALA LUMPUR 14 JUL: Ringgit dijangka mengukuh kepada paras 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan disebabkan harga minyak yang semakin baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd., Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, sekiranya harga minyak terus meningkat bukan sahaja ringgit malah mata wang lain akan turut mendapat lonjakan berikutan kedudukan minyak sebagai salah satu daripada sumber utama pendapatan negara.

Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) juga menjangkakan ringgit mungkin mengukuh sedikit berbanding dolar AS dengan kemungkinan pertikaian dagangan (AS-China) yang semakin reda dapat memulihkan selera pelabur terhadap risiko.

“Secara teknikal, AS$-MYR akan terus menunjukkan kelemahan selepas gagal melepasi paras 4.0515 minggu ini.

“Berikutan itu, kami kekal berpendapat bahawa sebarang penyusutan berbanding kenaikan berturut-turut sebelum ini, masih ada dan berpotensi susut ke paras 4.0047 selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

HLIB juga menjangkakan dolar AS berkemungkinan susut minggu depan susulan perang perdagangan yang semakin lemah manakala kekurangan data utama AS mungkin tidak mencukupi bagi menarik minat belian.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS kepada 4.0500/0530 berbanding 4.0380/0420.

Ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9620/9651 daripada 2.9672/9712 Jumaat lepas dan menokok berbanding yen kepada 3.6006/6043 daripada 3.6497/6536 sebelumnya.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3189/3236 daripada 5.3419/3476 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7122/7161 daripada 4.7277/7340.

SUMBER: BERNAMA

Hamidin dilantik presiden FAM ke-7

$
0
0

PETALING JAYA, 14 JUL: Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-tujuh bagi baki penggal 2017-2021 secara rasmi hari ini.

Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui kerusi panas itu diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54 di sebuah hotel di sini.

Bekas Setiausaha Agung badan induk bola sepak itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membuat keputusan menarik diri.

“Rasa sungguh kerdil apabila menjadi rakyat marhaen yang pertama memegang jawatan ini. Tugas berat menanti saya…”

“Saya beri jaminan tidak ikut telunjuk mana-mana individu seperti dakwaan beberapa pihak demi pembangunan bola sepak negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pertamanya selaku Presiden di sini, hari ini.

SUMBER: BERNAMA

MBSA raih tempat ke-22 daripada 50 Bandar Raya Dunia

$
0
0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Pertandingan ‘We Love Cities’ 2018 anjuran World Wide Fund For Nature (WWF), menyaksikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menduduki tempat ke-22 daripada 50 penyertaan seluruh dunia.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen orang ramai yang mengundi dan menyokong pembabitan MBSA dalam pertandingan berkenaan.

Katanya, kriteria digunakan dalam pemilihan itu adalah berdasarkan kepada undian setiap komuniti di bandaraya berkenaan.

“Promosi dilakukan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan tanda pagar (hashtag),” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pihak MBSA turut mengatasi bandaraya lain termasuk Istanbul, Tokyo, Vancouver, Cleveland dan Santiago.

“Bagaimanapun, dalam pertandingan ini kami berjaya mengatasi bandaraya Kuala Lumpur yang berada di tempat ke 23, manakala Bandaraya Melaka di kedudukan ke 30 peringkat kebangsaan.

“Secara keseluruhan, Bandaraya Jakarta telah memenangi pertandingan ‘We Love Cities’ 2018,” katanya.

Justeru, beliau berkata, menerusi kempen terbabit diharapkan ia dapat mewujudkan rasa sayang dan kekitaan (sense of belonging) dalam kalangan masyarakat terhadapa Bandaraya Shah Alam, khususnya.

=EZY=

 

Jemaah haji jangan leka dengan gajet semasa di Tanah Suci

$
0
0

MADINAH 14 JUL: Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan telefon bimbit mereka atau gajet-gajet seumpamanya semasa berada di Tanah Suci kerana dikhuatiri akan ‘mencacatkan’ kualiti ibadah haji mereka.

Pembimbing Ibadat Haji bagi 1439H, Ramli Ibrahim menegaskan ibadat haji adalah ibadat yang penghujung dan penggenap kepada Rukun Islam itu dan ia sepatutnya dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh khusyuk.

“Sifat yang digambarkan oleh Allah bagi mereka yang berjaya seperti mana yang dinukilkan di dalam al-Quran, Allah berfirman sesungguhnya orang beriman yang beroleh kejayaan itu adalah orang yang khusyuk pada solatnya, boleh kita kaitkan dengan ibadat (yang akan dilakukan nanti).

“Dalam masa yang sama, Allah mengingatkan supaya tidak terjebak di dalam perkara-perkara yang melalaikan,” katanya kepada media selepas majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat oleh kakitangan Tabung Haji Madinah sebagai persiapan untuk menjalankan tugas di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan para jemaah untuk tidak mencampur-adukkan ibadat haji dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan tumpuan mereka kepada ibadat itu sendiri.

SUMBER: BERNAMA

Laluan Bas Smart Selangor DUN Sungai Tua ditambah

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bakal ditambah di beberapa jajaran baru.

Dato Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan laluan baru itu membabitkan beberapa kawasan dan dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.

“Saya akan tambah laluan Bas Smart Selangor di Sungai Tua untuk kemudahan penduduk di Wira Damai, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana sampailah ke Stesyen Batu Caves.

“Kemudahan ini dilaksanakan melalui peruntukan DUN Supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan dan pembangunan di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri DUN Sungai Tua itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Kesyukuran DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, laluan baru itu membabitkan pertambahan sebuah bas dan kos keseluruhan sebanyak RM300,000.

Katanya, ketika ini proses pertambahan laluan baru itu berada di peringkat akhir dengan melibatkan rundingan berkenaan jajaran baru.

“Sekarang di peringkat terakhir perlu diselesaikan disebabkan ada beberapa pihak ingin taja dan kita nak selesaikan isu tajaan itu, mungkin kos daripada Pusat Khidmat DUN tidak perlu banyak,” katanya.

Katanya lagi, ADN lain turut boleh mengemukakan cadangan untuk menambah laluan baru di kawasan masing-masing.

=EZY=


Akhir Piala Dunia 2018: Pasukan mana pilihan jadi juara?

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 yang berlangsung di Rusia semakin menghampiri kemuncaknya apabila pasukan Perancis dan Croatia akan berentap di gelanggang akhir malam esok.

Bahang perlawanan akhir itu turut dirasai oleh peminat sukan bola sepak di Malaysia termasuk Dato’ Menteri Besar sendiri, Amirudin Shari.

Apabila ditanya pasukan pilihan beliau yang bakal menjuarai kejohanan paling berprestij itu, beliau meramalkan Perancis bakal mengatasi Croatia dengan jaringan 3-1.

“Atas kertas masih lagi Perancis tetapi dah banyak kali ramalan saya salah.

“Lagi pun ikut prestasi semasa saya fikir Perancis namun Croatia dah cipta banyak kejutan dan tak mustahil Croatia juga mempunyai harapan tetapi saya rasa Perancis akan menang 3-1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Kesyukuran Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman pula memilih Croatia sebagai juara baru dengan jaringan 3-2 mengatasi Perancis.

“Walaupun Croatia pasukan ‘under dog’ tapi mereka dah buktikan mampu menewaskan pasukan gergasi lain seperti England dan tuan rumah sendiri.

“Tak dinafikan Perancis pasukan yang kuat tetapi Croatia akan bermain bermati-matian untuk hadiahkan juara Piala Dunia kali pertama untuk negara dan rakyatnya,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong turut memilih Croatia sebagai juara dengan jaringan 3-1.

“Ini peluang terbaik Croatia kerana mereka belum pernah sampai ke tahap ini, jadi sudah tentu mereka bersemangat tinggi nak menang,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han pula memilih Perancis sebagai pasukan pilihan.

“Dua pasukan pilihan saya pada Piala Dunia Kali ini adalah Perancis dan Brazil tetapi sekarang Perancis yang berjaya masuk ke peringkat final.

“Saya penyokong Perancis, dah tentu saya pilih Perancis menang 2-1,” katanya.

Manakala Speaker DNS, Ng Sue Lim pula sependapat dengan Mohd Khairuddin dan Elizabeth Wong, memilih Croatia.

“Croatia akan buat kejutan pada final esok tewaskan Perancis,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan meramalkan jumlah jaringan pada perlawanan yang dijangka sengit itu nanti.

Festival Eco Community platform terbaik penjagaan alam sekitar

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 14 JUL: Festival Eco-Community yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu memberi kesedaran serta sebagai platform pembelajaran penjagaan alam sekitar, flora dan fauna kepada penduduk bandar raya ini.

Festival dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Cawangan Selangor atau dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS) menganjurkan Festival Eco-Community bertempat di Taman Rimba Riang, Seksyen 9, Kota Damansara.

Sekretariat Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan penganjurannya juga turut mempromosikan kepentingan dan ekologi Taman Rimba Riang kepada orang awam.

“Penganjuran festival itu juga dapat memperkukuh jalinan kerjasama antara MBPJ dengan agensi bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan inisiatif ke arah pembangunan bandar Petaling Jaya sebagai bandar raya peneraju, dinamik dan lestari.

“MNS merupakan pertubuhan NGO yang mempunyai pengalaman menganjurkan program dan mengetengahkan isu-isu berkaitan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, kerjasama MNS dalam menangani isu-isu berkaitan alam sekitar dapat memacu Petaling Jaya ke arah menjadi sebuah metropolis yang mengutamakan pengurangan karbon dan pemuliharaan biodiversiti serta memastikan kelestarian alam sekitar.

Dalam festival itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya taklimat dan demonstrasi penanaman pokok oleh Dr. Khadijah Rambe dan Dr. Jean Weber, pameran poster dan gambar, face painting, Community eco-hunt (treasure hunt) dan lain-lain.

Festival Eco-Community itu dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar.

MAIS sumbang RM670,000 kepada 45 NGO-i

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi sumbangan bantuan dana sejumlah RM670,000 kepada 45 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar menggunakan peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS bertempat di Hotel De’ Palma, di sini, hari ini.

Emran berkata, sumbangan itu membuktikan pihak MAIS komited membantu NGO-i dalam menjalankan aktiviti dakwah kepada masyarakat terutama di Selangor.

“Diharap NGO-i MAIS dapat memperkasakan matlamat dan objektif serta melaksanakan aktiviti memenuhi syarak juga undang-undang.

“Sumbangan fasa pertama kepada NGO-i MAIS tahun ini diharap supaya anda mematuhi piawaian dan kehendak ditetapkan serta menggunakan wang sejajar dengan apa yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Meja Bulat NGO-i MAIS “Menangani Isu Ancaman Akidah dan Sosial Selangor” serta Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS, di sini, hari ini.

Selain itu, Emran berkata, jumlah NGO-i MAIS yang berdaftar adalah 89 namun hanya 45 sahaja layak disebabkan beberapa dokumen yang tidak lengkap.

“Yang selebihnya tidak boleh menerima dana ini lagi kerana borang aktiviti yang belum lengkap bagi tempoh Jun hingga Disember 2017.

“Bagaimanapun, apabila mereka sudah mengemukakan borang yang lengkap pihak kita akan menilai dan mula membayar dana kepada mereka dalam masa terdekat ini,” katanya.

=EZY=

LZS lulus peruntukan RM1.5 juta kepada NGO-i MAIS

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan tambahan peruntukan sejumlah RM1.5 juta kepada program pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS bertempat di Hotel De’ Palma, di sini, hari ini.

Emran berkata, tambahan peruntukan itu bertujuan menjaga kesucian agama Islam di negeri ini .

“Dengan tambahan peruntukan ini, NGO-i MAIS diseru memberi lebih keutamaan kepada aktivis atau program yang dapat menangani isu ancaman akidah, ancaman sosial dan isu semasa umat Islam di Selangor terutamanya.

“Ingin saya mengingatkan, NGO-i hendaklah menyokong fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan seiring dengan visi dan misi yang sudah diterapkan MAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Meja Bulat NGO-i MAIS “Menangani Isu Ancaman Akidah dan Sosial Selangor” serta Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Emran turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM465,000 kepada 12 rumah kebajikan perlindungan anak yatim sekitar Selangor.

Manakala, antara pengisian majlis, turut diadakan persidangan daripada NGO-i MAIS membabitkan tiga panel iaitu Pengerusi WADAH Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail; Setiausaha Jawatankuasa Penaja Penubuhan Sekretariat NGO-i MAIS, Mohd Azmi Walang dan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Mohamad Zamri Mohamad Shapik.

=EZY=

Pameran EPITOME tampil karyawan seni foto

$
0
0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Galeri Seni Shah Alam (GSA) buat julung kalinya menganjurkan Pameran Tangkap Gambar EPITOME, yang menyajikan himpunan 60 imej berkonsepkan perspektif sendiri.

Sepanjang pameran berlangsung mulai 4 hingga 27 Julai itu, GSA bakal menampilkan kesemua imej yang diambil oleh lima karyawan seni foto.

Pengarah merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Raja Dato’ Zahabuddin Raja Yaacob berkata, empat daripadanya mempunyai latar belakang seni reka grafik, yang berkongsi cerita dan ekspresi seni.

Katanya, setiap jurufoto memilih 12 gambar mewakili minat dan citarasa yang daripada persekitaran yang menjadi pilihan mereka.

“Ini merupakan kajian visual tentang bahan dan perkara, sudut pandangan serta peristiwa, semulajadi juga buatan manusia, disengaja atau tidak, selain jelas atau sebaliknya.

“Selain itu, imej ini mengandungi suara dalaman yang berkait rapat dengan waktu dilihat dari permulaan atau pengakhiran, selepas atau sebelum dan kaleidoskopik pengalaman yang membentuk ingatan serta pemikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Tangkap Gambar 2018 dan Sambutan Hari Raya Edulfitri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Zahabuddin berkata, pemeran terbabit bertujuan mengetengahkan pemahaman seni foto ke arah lebih baik.

“Perkembangan seni foto akan dilihat dari semasa ke semasa, malah kita bakal mengambil insiatif untuk mengadakan pertandingan fotografi dari peringkat sekolah, dewasa hingga profesional.

“Kami mahu orang ramai melihat bahawa seni fotografi itu bukan sekadar rakaman yang diterjemahkan melalui lensa kamera sahaja, tetapi ia sebenarnya seni yang perlu membawa maksud bagi setiap imej,” katanya.

Galeri Shah Alam akan dibuka antara jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sempena pameran itu, bagi memberi peluang orang ramai melihat koleksi imej berkenaan.

=EZY=

Viewing all 9988 articles
Browse latest View live