Quantcast
Channel: Selangorkini
Viewing all 9988 articles
Browse latest View live

KKMM bakal sekat video pornografi

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyekat video berbentuk pornografi daripada menular, dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, sekatan itu menjadi salah satu perkara utama yang sedang diperjuangkan kerajaan baharu kini.

“Sekatan ini akan turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

“Bila ia mula disekat akan diumum kelak dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Majlis turut meraikan tiga pegawai RTM yang akan bersara iaitu mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abu Bakar Ab Rahim; mantan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Magli Alias dan mantan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Azman Abdullah.

Eddin berkata, walaupun tidak berpeluang bekerjasama dengan pegawai terbabit, namun beliau mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang sepanjang melaksanakan tugas, di RTM.

“Diharap perjuangan dan usaha mereka yang baik di RTM akan diteruskan anda semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, RTM adalah entiti penting dalam KKMM dan menghubungkan informasi kepada rakyat serta lidah rasmi kerajaan yang perlu diperkasakan dengan merakyatkan saluran media itu.

Katanya, walaupun berusia 72 tahun, RTM masih kekal relevan dan mampu berkembang ke tahap lebih cemerlang serta beliau komited membantu perkembangan organisasi dan transformasi stesen berkenaan.

“Bagi saya, RTM amat dekat di hati kerana saya membesar dengan mengikuti perkembangan semasa yang disajikan melalui berita dan program disiarkan.

“Saya yakin transformasi itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti warga kerjanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Terdahulu, Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik turut menampilkan persembahan daripada artis terkemuka tanah air antaranya Hazami, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Nassier Wahab.

Pada majlis sama, RTM turut meraikan anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pernah mengalami kebakaran sehingga meragut nyawa beberapa pelajar sebelum ini.


RMK11 dibentang 18 Oktober, muatkan manifesto PRU

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi giat menjalanjan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara bagi tempoh dua tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober itu nanti turut memuatkan cadangan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

“Antara lain akan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lalu namun memandangkan kerajaan ini baru dibentuk maka kajian separuh penggal ini juga memuatkan beberapa cadangan berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi, ada dua strategi dalam kajian separuh penggal, bukan sahaja melihat prestasi yang lalu tetapi juga kita merencana dan membuat dasar baru berdasarkan manifesto PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjangkakan kajian RMK11 yang melibatkan pelbagai aspek itu dapat disiapkan sebelum hari pembentangan nanti.

Sementara itu, majlis sambutan aidilfitri itu dimeriahkan dengan kehadiran Mohamed Azmin dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Kehadiran dua ikon penting Selangor itu berjaya mencuri tumpuan hadirin yang ada di majlis terbabit.

Mohamed Azmin dan Amirudin turut mengambil kesempatan melayani pengunjung yang ingin mengambil gambar dan bersalam-salaman.

KEADILAN kenal pasti calon PRK DUN Sungai Kandis

$
0
0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUL: KEADILAN Selangor telah mengenal pasti senarai calon untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dan berharap pimpinan pusat akan memutuskannya dalam tempoh terdekat.

Pengerusi KEADILAN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Biro Politik KEADILAN Negeri akan mengadakan perbincangan mengenainya hari ini dan akan mengemukakan senarainya selepas itu.

“Kita telah mengenal pasti sesetengah nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dan Biro Politik KEADILAN Selangor akan melalui proses perbincangan biasa dengan nama calon diputuskan akan dicadangkan kepada pimpinan KEADILAN Pusat untuk dimuktamadkan.

“Saya juga telah membincangkannya dengan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan jentera parti telah menjalankan gerak kerja bagi menghadapi PRK,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Silaturahim Eidul Fitr Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, pihaknya tidak memutuskan sesuatu perkara berdasarkan spekulasi tetapi merujuk kepada keputusan dibuat melalui proses perbincangan parti.

“Dengan prestasi cemerlang Allahyarham Shuhaimi Shafiei, saya yakin KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mempertahankan DUN Sungai Kandis,” katanya menambah lebih daripada satu nama calon akan dikemukakan kepada pimpinan KEADILAN Pusat.

Penamaan calon bagi PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 21 Julai dan hari mengundi, 4 Ogos ekoran kematian penyandang, Shuhami akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Pelabuhan Klang bakal jadi kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital

$
0
0

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Pelabuhan Klang bakal dijadikan sebagai kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kedua selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim berkata, cadangan itu boleh direalisasikan berpandukan kepada kebolehan pasaran pusat industri itu.

Katanya, komitmen itu selaras visi pembaharuan penjenamaan prospek pelaburan ekonomi negeri yang baharu.

“Ia masih di peringkat perancangan ketika ini, kerana tumpuan utama kita ketika ini adalah untuk mengukuhkan perkembangan pembangunan positif zon bebas digital KLIA terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri melihat kepada potensi Pelabuhan Klang ini kerana kedudukan lokasinya yang strategik dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Forum Pelaburan Industri Pengangkutan Logistik dan pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index, di Hotel Concorde, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Sementara itu, Selangor turut mensasarkan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai destinasi 10 pelabuhan terbaik dunia.

“Kita perlu bergerak lebih pantas bagi memastikan perancangan ini boleh dilaksanakan secepat mungkin.

“Memandangkan keperluannya sangat terhad, kami cukup optimis ia boleh direalisasikan kerana kita mempunyai keupayaan yang cukup untuk memastikan perancangan ini boleh dicapai,” katanya.

5R Adventure didik budaya jaga kebersihan

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan program 5R (recycle, reuse, reduce, rethink & reinvent) Adventure di bawah Program Low Carbon Cities Framework dan Program Kitar Semula Sekolah, di Petaling Jaya mulai 10 Julai hingga 30 September ini.

Pihak Berkuasa Tempatan itu dalam kenyataan berkata, program julung kali berkenaan bertujuan memupuk sifat kecintaan dan amalan kitar semula dalam kalangan kanak-kanak serta pelajar sekolah.

Katanya, sebanyak 86 sekolah rendah dan menengah serta 100 tadika akan menyertai program itu.

“Sekolah dan tadika yang berjaya mengumpul hasil jualan kitar semula (per kapita) berpeluang menerima hadiah berupa wang tunai ditaja sepenuhnya Syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).

“Barangan kitar semula yang akan diambil kira adalah kertas, plastik, tin aluminium, kotak dan bekas kotak minuman.

“F&N selaku penaja berperanan membantu MBPJ dengan mengadakan lawatan ke tadika di Petaling Jaya untuk memberi didikan berkenaan penjagaan alam sekitar,” katanya.

MBPJ berkata, hampir RM10,000 hadiah bakal ditawarkan antaranya tempat pertama kutipan kitar semula tertinggi bagi tadika sejumlah RM800; kedua (RM500) dan ketiga, RM200.

Manakala, hadiah istimewa untuk kutipan tin dan minuman tertinggi masing-masing menerima RM300.

Sementara itu, kategori sekolah rendah dan menengah tempat pertama masing-masing bakal menerima RM1,000; kedua (RM900); ketiga (RM800); keempat (RM700) dan kelima (RM600).

Hadiah sagu hati juga akan diberikan untuk tempat keenam sehingga ke-10 sejumlah RM300.

Turut diperkenalkan Anugerah Khas Kutipan Aluminium Tertinggi, Anugerah Khas Kutipan Plastik Tertinggi dan Anugerah Khas Kutipan Kotak Minuman Tertinggi masing-masing akan menerima RM500.

10 usahawan e-dagang Selangor terpilih ke Beijing

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 JUL: Seramai 10 usahawan e-dagang dari Selangor terpilih ke Beijing setelah berjaya melepasi ujian saringan ‘Selangor Accelerator Programme 2018’ (SAP).

Ketua Eksekutif Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC), Yong Kai Ping berkata, usahawan tersebut dipilih daripada 70 peserta yang menyertai acara berkenaan sejak dua bulan lalu.

Katanya, kesemua mereka akan dibawa ke Universiti Tsinghua di Beijing iaitu lubuk usahawan e-dagang di China.

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah apabila Kerajaan Selangor menjadi negeri pertama yang berjaya membawa usahawan e-dagang dalam skala yang besar ke peringkat global.

“SITEC mahu membuka peluang kepada golongan muda tempatan mengasah bakat perniagaan dalam talian sekaligus mendapat tempat di peringkat dunia,” katanya ketika pengumuman 10 pemenang SAP 2018 di Menara Top Glove di Setia Alam.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu Chang Kim berkata, individu yang berbakat sentiasa menjadi sumber penting dalam sesebuah negeri mahupun negara.

Katanya, terutama bagi bidang e-dagang, kumpulan ini membawa kepada kejayaan Malaysia dalam pembangunan ekonomi digital.

“Kerajaan Selangor sentiasa komited dengan program sebegini dan inilah salah satu caranya untuk membangunkan negeri ini ke arah ‘Golden State’,” katanya.

=EZY=

Sebahagian jalan tutup sempena PJ Half Marathon 2018

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menutup sebahagian jalan dan kawalan lalu lintas secara berperingkat, pada 14 dan 15 Julai ini bersempena PJ Half Marathon 2018, di Dataran Petaling Jaya, Jalan Timur.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, jalan yang akan ditutup bagi persiapan tempat pelepasan flag off ialah sebahagian Jalan Persiaran Barat bermula jam 3 petang (Sabtu) hingga 11 pagi (Ahad).

Manakala sebahagian Jalan Timur akan ditutup bermula jam 5 petang (Sabtu) hingga 11 pagi (Ahad).

“Untuk makluman, beberapa jalan di sekitar Petaling Jaya akan ditutup secara berkala oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Jalan berkenaan ialah Jalan Timur, Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Changgai 6/22, Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Selangor, Jalan Pasar 1/21, Jalan Railway 2/28, Jalan 2/27 dan Jalan Penchala.

“Selain itu, Persiaran P.P Narayanan, Jalan 229, Jalan Baiduri Ss1/22, Jalan Ss1/36, Jalan Ss2/24, Jalan 19/8, Jalan Harapan, Jalan 19/1, Jalan 21/1, Jalan 20/13, Jalan 20/14, Jalan 14/47, Jalan 14/48, Jalan 51A/223, Jalan Dato Rais Jamil 15, Jalan Semangat, Jalan 17/21, Jalan 17/13, Jalan 17/1, Jalan Universiti, Jalan Bukit 11/2, Jalan 12/13, Jalan 12/16, dan Jalan Kemajuan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MBPJ memohon pengguna jalan raya supaya mematuhi dan mengikuti arahan lalu lintas daripada polis trafik IPD Petaling Jaya.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh hubungi Urusetia Bahagian Pembangunan Sukan MBPJ di talian 03-79601220.

Kira-kira 100 polis trafik dan 50 pegawai penguat kuasa MBPJ akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon sama ada peserta mahupun orang awam.

Penganjur menyarankan kepada semua peserta untuk meletakkan kenderaan di sekitar kawasan letak kereta berhampiran PJ State dan tidak meletakkannya di bahu jalan supaya tidak mengganggu lalu lintas, pada hari acara berlangsung.

Sebanyak empat kategori akan dipertandingkan pada kali ini iaitu larian 30km Terbuka, 21km Terbuka, 10km Terbuka serta 3km Fun Run.

MBI kukuh kerjasama demi kemajuan negeri

$
0
0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) akan terus mengukuhkan kerjasama terjalin dengan pihak demi kemajuan bersama, seterusnya memacu pembangunan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, MBI menghargai sokongan diberikan pelbagai pihak selama ini, termasuk pada Majlis Silaturahim Eidul Fitr anjuranya dan berharap ia terus diperkukuhkan, pada masa hadapan.

“Majlis kita adakan hari ini mendapat sambutan dan dihadiri pelbagai pihak antaranya perbankan dan korporat serta kita menghargai sokongan mereka yang banyak membantu juga mewujudkan hubungan baik antara kedua pihak khusus dalam perniagaan.

“Kita berharap ia akan terus terjalin dan membawa perkembangan positif, terutama kepada pembangunan Selangor,” katanya kepada media pada Majlis Silaturahim Eidul Fitr MBI, di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis anjuran MBI saban tahun itu sentiasa menjamukan sajian istimewa menepati selera tetamu, termasuk cendol durian yang disukai ramai.

Katanya, ia juga berlangsung penuh jaya dan mendapat sambutan kerana kerjasama semua jabatan di bawah MBI.

“Menyentuh soal kelainan, bagi saya kali ini kita tampilkan Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari dalam majlis ini supaya hadirin dapat bertemu dan beramah mesra,” katanya.


Tahfiz: Tak timbul isu tutup bahkan diperkasakan lagi

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Di sebalik suara sumbang kononnya ada hasrat untuk menutup sekolah tahfiz namun sebaliknya di Selangor institusi terbabit semakin diperkasakan lagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, antara langkah diambil JAIS dengan mewujudkan garis panduan untuk dipenuhi oleh semua pengusaha sekolah tahfiz di negeri itu.

“Kita di peringkat akhir menyediakan piawaian garis panduan yang dipatuhi semua sekolah tahfiz swasta dan dalam masa terdekat setelah kita berbincang dengan beberapa pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Bomba, pejabat kesihatan dan sebagainya kita akan melengkapkan garis panduan yang perlu diikuti semua pengusaha sekolah tahfiz.

“Jika mereka patuhi garis panduan ini barulah kita benarkan mereka terus beroperasi. Garis panduan ini akan siap dalam tempoh terdekat sebulan dua ini,” katanya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Haris berkata, kira-kira 400 sekolah tahfiz berdaftar di bawah JAIS dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenuhi garis panduan ditetapkan.

Haris berkata, beliau menganggarkan lebih 80 peratus sekolah tahfiz yang berdafar ini mampu memenuhi garis panduan ditetapkan tetapi kebanyakkan mereka perlu menyelesaikan isu dokumentasi sahaja.

“Sekolah tahfiz yang gagal mematuhi garis panduan terutama yang membahayakan pelajar dan guru kita arahkan supaya ditutup. Kita akan jalankan pemutihan dan pelajar sekolah terlibat akan diserapkan ke sekolah tahfiz sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, sekolah tahfiz sering dikaitkan dengan isu tidak mematuhi piawaian binaan bangunan sekaligus meletakkan pelajar dan guru sekolah terbabit terdedah dengan pelbagai risiko khususnya kajadian kebakaran.

 

PRK Sungai Kandis: Polis Selangor siap sedia anggota

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Polis Selangor akan menggunakan sepenuhnya anggota kontinjennya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Ketua Polis Selangor, Dato’ Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak berhasrat mengambil anggota tambahan daripada kontinjen lain untuk menjalankan tugas sempena pilihan raya berkenaan.

“Setakat ini, jumlah anggota saya sudah mencukupi sepanjang berlangsungnya PRK itu.

“Bagaimanapun, jumlah keanggotaan kini sedang dinilai dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat, selain memberi fokus keselamatan pengundi, turut diberi keutamaan adalah kelancaran lalu lintas ekorann kawasan berkenaan agak sempit,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penamaan calon, pada 21 Julai ini sementara pembuangan undi, pada 4 Ogos.

Petanque Piala YDP MDKS tawar hadiah lumayan

$
0
0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JULAI: Lebih RM10,000 hadiah ditawarkan pada Kejohanan Petanque Piala Yang Dipertua 2018 Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Kejohanan terbuka itu bakal berlangsung selama dua hari, pada 21 dan 22 Julai ini seawal jam 8 pagi, di Arena Petanque MDKS.

Yuran penyertaan bagi kategori lelaki adalah RM100 manakala RM70 pula bagi kategori wanita.

Menariknya, hadiah ditawarkan bagi kategori lelaki “double” untuk Johan ialah RM3,000; naib johan (RM1,800); ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).

Selain itu, tempat kelima hingga kelapan masing-masing bakal membawa pulang RM200 dan tempat ke sembilan hingga 16 akan menerima RM100.

Manakala, bagi kategori wanita “double”, johan bakal membawa pulang RM1,800; naib johan (RM1,000); ketiga (RM700) dan keempat (RM450).

Bagi tempat kelima hingga ke lapan pula masing-masing akan menerima RM150.

Difahamkan, setiap pemenang turut akan menerima medal dan sijil.

Kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Amirul Mukminin di talian 0172345242 atau Muhammad Izral, 0176687562.

Empat tuntutan Bersih 2.0 menjelang PRK DUN Sungai Kandis

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 JUL: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut pengurusan pilihan raya berpiawaian tinggi dilaksanakan semua pihak terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, Bersih 2.0 menggariskan empat tuntutan untuk dilaksanakan pihak terlibat sepanjang PRK Sungai Kandis berlangsung.

“Pertama, Bersih 2.0 menuntut supaya SPR menjalankan tanggungjawab secara bebas dan tidak berpihak termasuk mengambil tindakan ke atas individu atau parti yang melanggar undang-undang pilihan raya.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut memantau dan mengambil tindakan terhadap salah laku pilihan raya berkaitan rasuah, pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah serta penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Shahrul Aman berkata, Bersih 2.0 juga menuntut supaya calon parti bertanding sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya.

Katanya, tuntutan keempat pula, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dituntut mematuhi garis panduan kerajaan sementara semasa PRK Sungai Kandis berlangsung bagi memastikan padang perlawanan sama rata untuk semua calon.

Kata Shahrul Aman lagi, Bersih 2.0 akan melancarkan misi pemerhatian oleh pasukan pemantau pada PRK Sungai Kandis bagi memantau sebarang salah laku bermula 21 Julai hingga 4 Ogos nanti.

“Enam kategori yang dipantau adalah rasuah dan pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah; bantuan dan pemberian tidak wajar kerajaan; penggunaan jentera kerajaan dalam berkempen; perbelanjaan berlebihan atau majlis mewah; intimidasi, keganasan dan gangguan; sikap berat sebelah oleh institusi awam; masalah undi awal dan undi pos; masalah daftar pemilih dan masalah ketika hari pengundian,” katanya.

Jangan pelihara anjing di pangsapuri – MDKL

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JUL: Jangan pelihara anjing di pangsapuri sekiranya tidak mempunyai lesen, tegas Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid.

Katanya, beliau berharap supaya penduduk di sekitar Kuala Langat mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.

“Selain itu, jagalah sensitiviti serta keharmonian penduduk lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika operasi bersepadu menangkap anjing oleh penguatkuasa Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MDKL di sebuah pangsapuri, di sini.

Melalui operasi berkenaan, sepasukan Unit COB dengan dibantu penguatkuasa Unit Vektor dan penguatkuasa MDKL menangkap anjing dipercayai menyebabkan kacau ganggu penghuni di pangsapuri tersebut.

Mohamad Zain berkata, tangkapan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pembiakan Dan Rumah Anjing MDKL 2007 kerana didapati pemilik premis tidak mempunyai lesen memelihara anjing di pangsapurinya.

“Anjing itu didapati mengeluarkan bunyi bising serta bau busuk akibat daripada najis anjing.

“Pemilik premis masih berdegil memelihara anjing itu setelah diberikan notis kesalahan pada 21 Mac 2018 lalu.

“Notis kesalahan dikeluarkan juga jelas mengarahkan pemilik premis supaya mengalihkan anjing tersebut dalam tempoh tiga hari seperti di tetapkan,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis penanda aras pilihan raya di era kerajaan baru

$
0
0

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 JUL: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebagai penanda aras terhadap perjalanan pilihan raya di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu bakal mempengaruhi perjalanan PRU dan PRK lain selepas ini.

“Kami menyeru semua pihak memastikan PRK Sungai Kandis dijalankan secara bersih dan adil serta menetapkan penanda aras untuk pilihan raya akan datang.

“PRK Sungai Kandis menjadi model pilihan raya selepas ini dan Bersih 2.0 berharap supaya tiada penyelewengan berlaku seperti mana banyak berlaku pada PRU14 lalu seperti penyalahgunaan jentera kerajaan dan lain-lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan Avenue 8 di sini, hari ini.

Shahrul Aman berkata, jumlah laporan salah laku membabitkan parti bertanding pada PRU14 lalu sangat membimbangkan.

Katanya, Bersih 2.0 turut mengulangi gesaan supaya enam Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab ke atas penipuan dan kesilapan pengurusan pada PRU-14 lalu.

“Mereka seharusnya tidak lagi diberikan tanggungjawab menjalankan sebarang pilihan raya dalam negara ini,” katanya.

 

266 penagih dadah dalam pengawasan AADK Kuala Selangor

$
0
0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Seramai 266 penagih dadah berada dalam kelompok Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, daripada jumlah berkenaan, 260 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

Katanya, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada penagih berusia antara 30 hingga 40 tahun, di Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

“Saya dimaklumkan AADK Kuala Selangor, ada sebahagian kecil OKP terdiri daripada pelajar, justeru saya amat berharap ibu bapa khasnya memantau aktiviti anak mereka tidak kira masa.

“Sebagai ADN, saya menyeru orang ramai dan anak muda khususnya supaya tidak terjebak dengan najis dadah. Jangan sesekali mencuba kerana apabila sudah cuba, pasti rasa ketagih itu akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran AADK daerah Kuala Selangor.

Juwairiya berkata, sokongan dan kata semangat dilihat mampu membantu golongan OKP berdepan masalah ketagihan dan kembali memulakan kehidupan lebih baik.

“Masyarakat atau keluarga sama sekali tidak boleh meminggirkan golongan ini kerana situasi itu akan menyebabkan OKP kembali terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Mereka ini perlu diberi bantuan, ruang dan peluang oleh masyarakat serta anggota keluarga untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan,” katanya.


Sultan Perak pengerusikan mesyuarat Majlis Raja-raja

$
0
0

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua raja Melayu kecuali Pahang dan Kelantan.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah manakala Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Pada hari pertama mesyuarat yang bermula 10.30 pagi itu, raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiri­ngi Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadual berangkat menghadiri mesyuarat itu, esok.

SUMBER/ FOTO: BERNAMA

Pedagang Jepun masih utamakan minyak sawit Malaysia – MPOC

$
0
0

KUALA LUMPUR 11 JUL: Para pedagang Jepun terbukti masih menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan mereka berdasarkan faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain kepentingan peranan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dalam satu kenyataan hari ini berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

“Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020.

“Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia.

Pada masa sama, acara itu turut menjadi platform bagi membolehkan kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia meninjau peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun yang berpotensi.

Menurut MPOC, pada tahun lepas, penggunaan minyak dan lelemak di Jepun meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 2.85 juta tan berbanding 2016, manakala import minyak dan lelemak meningkat secara stabil sebanyak 5.2 peratus pada 2016 kepada 1.02 juta tan.

“Aliran ini dijangka berterusan pada masa depan seiring dengan pertumbuhan permintaan tempatan selain kepelbagaian penggunaan produk berkaitan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

PEKAWANIS mahu perluas operasi Rumah Perlindungan Puteri Arafiah

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUL: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (Pekawanis) berhasrat memperluaskan operasi Rumah Perlindungan Puteri Arafiah ekoran terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka kembali ke pangkal jalan.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, ramai ibu bapa daripada pelbagai negeri menyuarakan hasrat itu, namun rumah terbabit hanya menerima 40 pelajar serentak.

Bagaimanapun, katanya atas permintaan itu, beliau mahu berbincang dengan pihak terbabit untuk mempertimbangkan hasrat berkenaan.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kita memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pihak-pihak yang menaja rumah ini.

“Kita juga perlu menyediakan bantuan perunding dan kakitangan yang boleh memberikan komitmen serta menunjukkan minat dalam isu pemulihan remaja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Puteri Arafiah, di Seksyen 7, di sini.

Hadir sama, isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Pada masa sama, Shamshida berkata, pihak Universiti Teknologi Mara (UITM) menawarkan pelajar rumah itu mengikuti program selepas tamat pelajaran.

“Mana-mana pelajar yang tidak diterima bekerja atau menyambung pengajian, pihak UITM mahu bekerjasama menawarkan program kepada pelajar ini.

“Peluang untuk pelajar di rumah ini semakin terbuka, bukan sahaja UITM tetapi beberapa pihak lain yang sudi memberi pelajaran program kemahiran, pengurusan dan sebagainya,” katanya.

Rumah Perlindungan Puteri Arafiah adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri di bawah umur 21 tahun anjuran PEKAWANIS yang ditubuhkan sejak Jun 2011.

Ia bertujuan membantu kumpulan remaja yang tersasar dalam gejala sosial kembali ke pangkal jalan.

Rumah Perlindungan Arafiah lahirkan pelajar berpendidikan tinggi

$
0
0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUL: Rumah Perlindungan Puteri Arafiah (RPA) kini bukan lagi sekadar rumah penjagaan remaja bermasalah, malah melahirkan pelajar berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hal itu boleh dibuktikan selepas 14 pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 pelajar berjaya mendapatkan tempat di universiti tempatan antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Beliau berkata, manakala empat lagi pelajar sudah bekerja sepenuh masa.

“Saya berasa sangat gembira melihat kejayaan anak-anak ini. Rumah ini berjaya membina jati diri semula secara perlahan-lahan.

“Walaupun dalam tempoh belajar yang singkat namun mereka berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan golongan yang berjaya dan berguna dalam masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama, isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Shamshida berkata, pihak pengurusan rumah ini sentiasa mahukan pelajar terbabit menerima pendidikan yang terbaik dengan menyediakan kelas-kelas tambahan.

“Selain memberikan kelas agama, motivasi dan kemahiran, kita juga menyediakan kelas tambahan bagi memudahkan mereka mengambil peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata hubungan kemesraan pihak pengurusan bukan setakat diantara pelajar, malah alumni, ibu bapa dan keluarga pelajar.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan untuk mereka sama ada tamat pengajian atau masih dalam pengajian.

“Mana-mana pelajar yang keluar tetapi masih mempunyai masalah mereka boleh menghubung kita untuk kita menjamin mereka terus bersemangat menjalani kehidupan seharian,” katanya.

RPA menyediakan khidmat bimbangan rohani meliputi pendidikan moral, bimbingan solat dan al-Quran, selain menjalani sesi kaunseling individu dan kelompok, bengkel motivasi, rekreasi dan aktiviti seni.

Kemahiran masakan, jahitan, berkebun, kraftangan dan pengendalian komputer turut diajar supaya mereka bersedia mendepani cabaran kehidupan sebenar.

 

Juwairiya fokus perkasa sektor pelancongan

$
0
0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli bertekad untuk memperkasa sektor pelancongan dalam usaha mengembangkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat, di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu secara tidak langsung akan menterjemahkan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri yang mahu memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan.

Katanya, kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semulajadi harus dimaksimumkan secara lebih efektif.

“Ia suatu kelebihan kerana kita ada keunikan tersendiri, terutama di beberapa daerah utama membabitkan Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Kerajaan Negeri malah memfokuskan ketiga lokasi ini yang dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Justeru, menjadi tanggunjawab saya sebagai wakil rakyat untuk menyemarakkan agro-pelancongan dengan mengajak pelancong supaya datang ke negeri ini, khususnya Kuala Selangor yang indah dan bersejarah,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Bukit Melawati, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, perkembangan mapan sektor pelancongan di kawasan berkenaan akan membawa kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Memandangkan isu pekerjaan adalah aspek yang diberi penekanan serius, jadi fokus saya terarah kepada anak muda tempatan dalam menyediakan peluang pekerjaan terbaik kepada mereka.

“Mereka tidak perlu berhijrah ke luar daerah semata-mata mencari pekerjaan, sebaliknya dapat menyumbang semula kepada ekonomi mikro dalam negeri dan daerah,” katanya.

Viewing all 9988 articles
Browse latest View live