Oleh: SYASYA SUFIAN
PETALING JAYA, 17 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyarankan peniaga van kecil atau dikenali sebagai ‘Food Truck’ bertanggungjawab menjaga kebersihan di tapak niaga.
Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata kegagalan berbuat demikian menjadi salah satu punca pembuangan sampah semakin berleluasa atas sikap sambil lewa peniaga disebabkan mereka tidak membayar sewa tapak.
“Keadaan kawasan kotor dan dipenuhi sampah yang ditinggalkan peniaga ini memberi tanggapan negatif kepada pelancong luar. Secara tidak langsung memburukkan nama Petaling Jaya serta MBPJ.
“MBPJ sudah menyediakan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi dan bayaran sewa kepada peniaga.
“Ia bertujuan memastikan peniaga Food Truck ini turut sama menjaga kebersihan kawasan persekitaran selari dengan objektif kita menjadikan Damansara Uptown Bersih,” katanya sewaktu pelancaran Kempen Damansara Uptown Bersih, di sini, semalam.
Mohd Azizi berkata, syarat penggantungan kain rentang, poster dan pelekat di tiang lampu jalan serta dinding bangunan akan diperketatkan.
“Penguatkuasa akan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat yang masih berdegil menggantung poster haram tanpa kelulusan MBPJ. Kini kerja pembersihan sedang giat dijalankan,” katanya.
-NFN-