Oleh Haizir Othman
Kelakar – itu perkara pertama terlintas sebaik sahaja membaca laporan Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan Biro Tata Negara (BTN) mengenai gerakan indie di Malaysia.
Dan, selepas mentertawa laporan itu, dapatlah diagak ia sebagai bahan kajian untuk dipersembah kepada para petinggi Umno BN sebagai bacaan awal sebelum merangka pelan menuju pilihan raya akan datang.
Longgar dan silapnya laporan itu, akhirnya menjurus kepada satu premis iaitu mengkelompok anak-anak muda indie kepada kumpulan pro-pembangkang – satu kerisauan kerajaan untuk mengatasi hal itu segera sebelum terlambat.
Lupakan definisi sastera, muzik malah ‘indie’ itu sendiri yang ditafsir semberono dalam slaid laporan.
Itu bukan tujuan laporan mereka. Mereka hanya berminat dengan gelombang baharu yang dibawa kelompok anak muda, yang jika diterjemah di kertas undi, berupaya mengancam duduk-letak punggung bos-bos mereka di Putrajaya.
Atas sebab itu, mereka membentang senarai pemain utama geng indie, antaranya Sinaganaga, Aloy Paradoks, Aisa Linglung, Faisal Mustaffa dan lain-lain.
Bentuk laporan pula persis disediakan pegawai polis yang menyediakan fail siasatan terhadap saspek penjenayah. Malah, kegiatan ‘jenayah’ geng indie turut disenarai seperti acara Eksotikata, Kolumpo Kita Punya dan KLAB.
Mengetuai senarai ‘dikehendaki’ ialah Benz Ali, Melati Rahim, Adam Adli dan Zikri Rahman. Semuanya dianggap ikon indie yang punyai ramai pengikut. Melati Rahim, misalnya ahli DAP berimej muslimah tetapi penulis buku kisah lucah.
Ya, laporan sebegini walaupun layak diketawa, membawa konotasi betapa mereka berada dalam senarai orang yang diperhati pihak berkuasa – saling tidak tumpah seperti penjenayah.
Laporan itu jugamendedahkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertama, BTN mahupun kerajaan melihat anak muda hari ini hanya dari perspektif kertas undi, tidak lebih dari itu.
Tiada nilai lebih baik yang boleh diperoleh dari anak muda selain coretan pangkah mereka dalam kotak bersebelahan logo dacing BN.
Sebijak mana pun anda, setinggi mana bakat anda dalam kesusasteraan, sehebat mana pemikiran anda – semua itu tiada nilainya jika anda tidak berada dalam kotak sama dengan pemerintah.
Sebaliknya, jika anda kutu berahak sekalipun, jika pandai memangkah dacing, anda adalah satu kejayaan.
Kedua, sebarang aktiviti dan pemikiran yang tidak seiring dengan agenda kerajaan, maka ia dianggap ancaman – mungkin setara nilainya dengan ancaman penjenayah sebenar.
Pemerintah melalui BTN sama sekali tidak peduli dengan bentuk ekspresi seni rakyat lewat aktiviti seperti baca puisi, diskusi buku, persembahan muzik dan lain-lain. Semua itu tiada ‘pahala’ di sisi pemerintah, malah jatuh kepada kategori haram dan berdosa – jika tidak bertaubat, boleh dihumban ke neraka (baca: pengharaman buku, palang penjara, ISA dan lain-lain).
Sastera indie, walau apa pun definisi yang BTN beri, memiliki jasa tersendiri terhadap perkembangan kesusasteraan tanah air. Sewaktu ia mula muncul dan berkembang sekitar awal 2000, ia menjadi alternatif longgar kepada sastera perdana yang berbumbu institusi rasmi sastera negara seperti DBP.
Perkembangan teknologi print-on-demand membantu sastera indie berkembang pesat, menerbit buku lebih cepat ketimbang kos percetakan relatif lebih rendah – jauh meninggalkan penggiat sastera perdana yang agak lembab lantaran prosedur dan karenah birokrasi.
Perkembangan sastera indie juga menutup lompong yang tinggalan sastera perdana akibat kelemahan mereka sendiri. Secara positif, kepantasan kelompok indie menerbitkan buku membentuk gelombang baharu perbukuan, sekaligus mencabar rumah penerbitan yang lebih berbobot seperti ITBM.
Tanpa kelincahan mereka, buku sastera kita barangkali terlalu bernostalgia dengan kegemilangan zaman 1970-an dan 1980-an. Kemunculan geng indie sebaliknya melonjak dunia penulisan, minat membaca sekaligus industri perbukuan negara.
Jika mengharapkan organisasi sastera arus perdana, barangkali sehingga kini kita belum punya pesaing Faisal Tehrani mahu penulis lain, sekurang-kurangnya dari segi populariti dan kekerapan karyanya diperkata ramai.
Sindiket Sol-jah misalnya telah merintis jalan kepada penulis baru yang berasa diri kerdil di pentas arus perdana, lebih berani untuk menghantar karya dan menjadi pemain utama industri sastera tanah air.
Ironisnya, kehadiran geng indie ditanggapi secara silap oleh konco-konco pemerintah seperti BTN. Kegagalan menyaingi secara sihat lewat dialog dan wacana mengakibatkan mereka diletak di kandang orang salah.
Realitinya, agak sukar bagi pemerintah untuk menundukkan gelombang besar pemikiran melainkan muncul gelombang baru yang lebih besar, atau wacana kekuasaan digunakan.
Sehingga keadaan itu berlaku, acara sastera indie akan terus mengambil ruang dengan pemikiran dan kelincahan penggiatnya. Jika pemerintah dan BTN terus-menerus terpisah daripada realiti itu, mereka akan terus ketinggalan.
Dan dikalahkan.